Berita Harian:
SESB perkenal kaedah baru penjimatan elektrik, dewan atau bilik diterangi secara semula jadi
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperkenalkan kaedah baru penjimatan elektrik menggunakan botol plastik berisi air sebagai pengganti lampu bagi menerangi bilik atau dewan tertutup pada waktu siang.
Menerusi kaedah itu, botol plastik berisi air akan dipasang di atap bangunan bagi membolehkan cahaya matahari memasuki ruangan dewan atau bilik dan menerangi kawasan berkenaan secara semula jadi.
Pengurus Zon Tengah Kendalian Pembahagian SESB Kota Kinabalu, Willie Wong, berkata cahaya yang dihasilkan menerusi kaedah itu menyamai kekuatan cahaya lampu biasa yang menggunakan tenaga elektrik.
Beliau yang menjalankan kajian penggunaan kaedah itu sejak awal tahun ini berkata, jika dilaksanakan, ia mampu menjimatkan penggunaan elektrik untuk lampu pada waktu siang sehingga 100 peratus.
"Botol plastik berisi air yang dipasang di atap bangunan akan memancarkan cahaya terang dan kelihatan seperti cahaya lampu biasa kerana air dalam botol itu bertindak seperti prisma.
"Konsepnya sama seperti memasang zink lutsinar tetapi cahaya matahari yang memasuki ruang bangunan akan menjadi lebih terang berbanding cahaya biasa jika menggunakan zink lutsinar," katanya di sini, kelmarin.
Wong berkata, pengguna yang ingin memasang kaedah itu tidak memerlukan kos tinggi kerana hanya perlu mengumpul botol plastik terpakai untuk dipasang pada atap bangunan.
Katanya, botol plastik yang diisi air akan dilekat menggunakan pelekat silikon secara menegak di atas atap manakala bahagian bawah botol diletak menghadap ruangan bangunan.
"SESB sudah memasang kaedah ini di bilik serbaguna kami di pejabat SESB Tanjung Aru sejak awal tahun ini dan sekarang ia berfungsi dengan baik tanpa kebocoran.
"Sebagai tambahan, kami turut memasang satu sistem jatuhan air dalam bangunan untuk menghasilkan udara sejuk tanpa menggunakan pendingin hawa.
"Pada masa sama, kami juga memasang sistem solar bagi menghasilkan tenaga elektrik untuk menghidupkan kipas dan lampu bagi kegunaan pada waktu malam," katanya.
Katanya, gabungan penggunaan botol plastik, sistem jatuhan air dan tenaga solar dalam satu bangunan dikenali sebagai sistem Pejabat Tenaga Rendah atau Low Energy Office (LEO) yang berkonsepkan teknologi hijau.
Beliau berkata, SESB mengalu-alukan orang ramai yang ingin melihat keberkesanan kaedah itu dan bersedia memberikan panduan kepada sesiapa yang ingin memasangnya.
"Kaedah ini berpotensi digunakan dalam pejabat atau dewan kerana atap perlu ditebuk bagi memasang botol plastik.
"Berdasarkan apa yang kami lakukan, ia berkesan untuk menjimatkan tenaga tanpa menjejaskan keselesaan orang ramai kerana langkah itu memaksimumkan penggunaan sumber semula jadi seperti cahaya matahari," katanya.
No comments:
Post a Comment